Artikel Kepakaran : Usahawan Wanita Perlu Rebut Peluang Perniagaan IP - Berita Harian 2023 | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Artikel Kepakaran : Usahawan wanita perlu rebut peluang perniagaan IP - Berita Harian 2023

Artikel Kepakaran : Usahawan wanita perlu rebut peluang perniagaan IP - Berita Harian 2023

Artikel di siarkan di Berita Harian pada 8/6/2023

Cabaran usahawan wanita mendepani dunia perniagaan sering terlindung di sebalik ‘bayang-bayang lelaki’ walaupun pencapaian dan sumbangan golongan hawa dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi serta sosial amat penting bagi membentuk kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara.

Dalam perniagaan membabitkan harta intelek (IP) khasnya, bilangan usahawan wanita menceburi bidang itu masih kurang berbanding lelaki. Dalam hal ini, Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), menyediakan sokongan dan sumber diperlukan untuk membantu wanita melindungi serta meningkatkan nilai perusahaan mereka melalui penggunaan IP.

IP adalah perniagaan permulaan dipacu inovasi, sama ada dalam bentuk paten, hak cipta, reka bentuk perindustrian dan rahsia dagangan. Ia penting dalam memastikan keunikan produk dan menangani isu cetak rompak atau pelanggaran hak daripada pesaing.

Pada masa ini, beberapa pejabat IP tempatan di seluruh dunia sedang melancarkan inisiatif bertujuan menyokong wanita dalam perniagaan IP. Pejabat Ketua Pengawal Paten, Reka Bentuk dan Tanda Dagangan (CGPDTM) India contohnya menawarkan pengurangan yuran 80 peratus kepada syarikat baharu dan usahawan wanita.

Latihan membina kemahiran

Di Amerika Syarikat (AS), Pejabat Paten dan Tanda Dagangan (USPTO) turut mengurangkan yuran untuk entiti kecil dan mikro sebanyak 60 dan 80 peratus. Institut Harta Perindustrian Mexico (IMPI) pula menawarkan pelbagai sumber, termasuk latihan membina kemahiran, bimbingan membantu wanita menambah nilai dan mengkomersialkan teknologi inovatif.

Di Malaysia, usahawan wanita berjaya di dalam perniagaan berteraskan IP dilihat tidak jauh ketinggalan. Contohnya penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Emeritus Datuk Dr Asma Ismail mempelopori pengkomersialan diagnostik pantas penyakit demam kepialu, dipatenkan di lebih 20 negara.

Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Lai Oi Ming, pengasas syarikat pemula Lipidware berjaya mengkomersialkan paten krim pelembap penghidap ekzema turut digunakan di China ketika pandemik COVID -19 melanda.

Malaysia harus berbangga dengan usahawan wanita seperti Tan Hooi Ling, pengasas bersama aplikasi Grab menyediakan perkhidmatan epanggilan merentas Asia Tenggara dan Pazdilah Enda Sulaiman, usahawan telekung inovasi Siti Khadijah.

Secara keseluruhannya kesedaran usahawan tempatan di Malaysia tanpa mengira jantina termasuk perusahaan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) berhubung kepentingan IP dilihat semakin meningkat apabila 46,812 pendaftaran IP direkodkan pada 2021.

Peruntukan bernilai RM2 juta Dana Pemfailan IP disediakan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) pada 2023 harus diambil peluang usahawan wanita untuk mengembangkan idea perniagaan mereka.

Inisiatif lain seperti Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui dana Inovasi Sosial Malaysia bagi membangunkan inovasi tempatan dan usahawan B40 juga langkah penting membantu usahawan wanita memulakan langkah perniagaan mereka.

Malaysia harus mencontohi WIPO, berterusan menjalankan pelbagai program bimbingan IP di seluruh dunia untuk membantu perniagaan diterajui usahawan wanita melindungi dan memanfaatkan aset IP. Perniagaan berpacu IP kini menjadi agenda utama supaya manfaat inovasi dapat dinikmati masyarakat dan negara.

Pembentukan ekosistem inovasi mapan ditunjangi kerajaan, universiti atau agensi penyelidikan serta pemain industri perlu menjadi obligasi utama kerajaan bagi memacu IP sebagai asas perniagaan mampu memberi impak tinggi kepada usahawan dan Malaysia.

 

Artikel oleh :

Asrizam Esam
Pegawai Penyelidik Kanan
Seksyen Promosi dan Pemasaran Inovasi
Putra Science Park

 

 

https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian-malaysia/20230608/281663964405355

 

Tarikh Input: 10/06/2023 | Kemaskini: 27/06/2023 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDcVAR~