Baru-baru ini, timbul isu mengenai penjualan produk roti sandwic yang mengandungi ham tanpa sijil halal yang diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Penggunaan istilah ham di Malaysia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna, terutamanya kerana istilah ini sering dikaitkan dengan budaya pemakanan di luar negara.
Di peringkat antarabangsa, ham merujuk kepada produk daging khinzir yang telah diproses, dihiris nipis, dan biasanya dihidangkan dalam sandwic atau salad. Produk sebegini sering dijual di pasar raya atau kedai runcit sebagai makanan sedia dimakan. Menurut Kamus Merriam-Webster, istilah ham secara khusus merujuk kepada bahagian kaki belakang haiwan, terutamanya khinzir, yang telah diawet atau diproses dengan kaedah tertentu.
Namun, dalam industri makanan, istilah ini boleh membawa makna yang lebih luas. Jika produk diperbuat daripada ayam, ia sepatutnya dilabel dengan lebih jelas sebagai chicken ham untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna. Begitu juga dengan istilah bacon, yang biasanya merujuk kepada daging khinzir yang dihiris nipis dan diawet. Jika daging ayam digunakan sebagai alternatif, istilah seperti chicken bacon tidak boleh digunakan kerana boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna yang mungkin menganggap produk tersebut bercampur dengan daging tidak halal.
Pematuhan terhadap Peraturan Makanan 1985 amat penting untuk memastikan keselamatan pengguna dan ketelusan maklumat mengenai sesuatu produk makanan. Sebagai contoh, jika peraturan mengenai ayam dalam sesuatu produk membenarkan kandungan bahan tambahan dalam kadar tertentu, pengeluar makanan tidak boleh mengelirukan pengguna dengan istilah yang boleh menimbulkan salah faham.
Selain itu, jika sesuatu produk mengandungi gabungan daging lembu, ayam, dan khinzir, maklumat ini mesti dinyatakan dengan jelas pada label. Ini penting bagi membolehkan pengguna membuat keputusan yang tepat berdasarkan kepercayaan, diet, dan keperluan pemakanan mereka. Di Malaysia, Seksyen 141 hingga 154 Peraturan Makanan 1985 menetapkan keperluan pelabelan produk berasaskan daging, tetapi tidak mempunyai pernyataan khusus mengenai penggunaan istilah seperti ham dan bacon.
Pihak industri makanan bertanggungjawab untuk memastikan pelabelan produk mereka jelas, mudah difahami, dan tidak mengelirukan pengguna. Penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelabelan produk yang dijual di Malaysia adalah mandatori, seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 17 peraturan tersebut.
Namun, masih menjadi tanggungjawab pengeluar untuk menjalankan kajian mendalam sebelum menggunakan istilah tertentu bagi memastikan ia tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna. Jika peraturan ini tidak dipatuhi, ia boleh membawa kepada tindakan undang-undang yang bukan sahaja menjejaskan reputasi syarikat tetapi juga memberi kesan kepada industri makanan tempatan secara keseluruhan.
Isu ini perlu diberi perhatian serius, bukan sahaja untuk melindungi budaya pemakanan masyarakat Malaysia tetapi juga untuk memastikan kepercayaan pengguna terhadap produk makanan yang dijual di pasaran.
Date of Input: 21/01/2025 | Updated: 21/01/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia