Penyelidik UPM Cipta Inovasi Percepat Saringan, Kesan Penyakit Tibi - BERNAMA | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTICLE » Penyelidik UPM cipta inovasi percepat saringan, kesan penyakit tibi - BERNAMA

Penyelidik UPM cipta inovasi percepat saringan, kesan penyakit tibi - BERNAMA

ARTIKEL DITERBITKAN BERNAMA 23/3/2021

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta dua inovasi yang dikenali sebagai TB Strip dan TB Reader bagi menyaring dan mengesan penyakit tibi dengan lebih cepat selain turut mesra pengguna.

Kedua-dua inovasi ini bertindak dengan mengesan bakteria Mycobacterium tuberculosis dalam sampel sputum atau kahak dalam tubuh seseorang individu.

TB Reader mengambil masa lebih kurang dua jam untuk mendapatkan keputusan, lebih sensitif serta mampu mengesan kehadiran bakteria yang menyebabkan penyakit tibi walaupun kandungan bakteria dalam kadar yang rendah.

TB Strip pula memakan masa hanya kira-kira 10 hingga 15 minit untuk mendapat keputusan namun tahap sensitivitinya lebih rendah berbanding TB Reader.

 
Menyifatkan kedua-dua inovasi itu sebagai nilai tambah kepada kaedah pengesanan awal penyakit tibi yang sedang digunakan hospital dan makmal terlibat, ketua kumpulan penyelidik UPM Dr Nor Azah Yusof berkata, antara kelemahan kaedah piawai sedia ada adalah ia mengambil masa agak lama bagi mendapatkan keputusan ujian.

“Sebagai contoh ujian Mantoux memerlukan tempoh masa minimum 72 jam dan ujian kultur pula lazimnya minimum empat minggu diperlukan.

“Biarpun ujian calitan kahak ‘acid fast bacilli’ (AFB) adalah yang paling cepat (menghasilkan keputusan), namun isu yang sering timbul adalah keputusan ‘false negative’ yang agak tinggi.

“Justeru, inovasi TB Strip dan TB Reader ini dapat membantu mempercepat proses saringan penyakit Tibi sebelum pemeriksaan lanjut dan lebih terperinci dijalankan, di samping kos bagi kedua-duanya jauh lebih rendah berbanding kaedah lain,” kata beliau.

 

Saringan menggunakan TB Strip dilakukan melalui kaedah ujian antigen sementara TB Reader pula adalah inovasi bagi mengesan bakteria menggunakan kaedah elektro kimia.

Nor Azah, yang juga pensyarah di Fakulti Sains UPM, berkata inovasi itu sedang dalam proses kajian klinikal dan perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebelum ia boleh dipasarkan secara rasmi.

Kajian klinikal fasa pertama TB Reader mencapai 70% kecekapan berbanding kaedah piawai sedia ada dan selepas semua masalah berkaitan dikenal pasti, kajian klinikal fasa kedua pula akan diteruskan dengan skala sampel yang lebih besar.

TB Reader mula dibangunkan sejak lima tahun lalu dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Persatuan Pencegah Batuk Kering Sabah (SABATA) Penampang.

Kajian klinikal baru TB Strip pula bermula Ogos tahun lalu secara berperingkat namun terpaksa ditangguhkan berikutan perintah kawalan pergerakan fasa kedua.

Penyakit tibi merupakan satu daripada 10 penyebab utama kematian di peringkat global manakala jumlah kadar kematian yang direkodkan di Malaysia pada 2019 adalah sebanyak 3.7 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Laman web rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan sebanyak 1.4 juta kematian akibat penyakit berjangkit ini direkodkan pada 2019 dan jumlah ini termasuklah 208,000 orang penghidap HIV.

Hari Tibi disambut di seluruh dunia pada 24 Mac setiap tahun sempena memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr Robert Koch pada 24 Mac 1882.

Turut dikenali sebagai batuk kering, penyakit ini lazimnya melibatkan paru-paru namun organ lain seperti otak, tulang, kelenjar, usus dan buah pinggang juga boleh mendapat jangkitan Tibi.

 

Date of Input: 24/12/2021 | Updated: 24/12/2021 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEUWAA~