Penyelidik UPM Cipta Inovasi Percepat Saringan, Kesan Penyakit Tibi - MALAYSIA CHINA INSIGHT | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTICLE » Penyelidik UPM cipta inovasi percepat saringan, kesan penyakit Tibi - MALAYSIA CHINA INSIGHT

Penyelidik UPM cipta inovasi percepat saringan, kesan penyakit Tibi - MALAYSIA CHINA INSIGHT

ARTIKEL DITERBITKAN MALAYSIA CHINA INSIGHT 23/3/2021

KUALA LUMPUR, 23 Mac — Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta dua inovasi yang dikenali sebagai TB Strip dan TB Reader bagi tujuan menyaring dan mengesan penyakit tuberkulosis atau Tibi dengan lebih cepat selain turut mesra pengguna.

Kedua-dua inovasi ini bertindak dengan mengesan bakteria Mycobacterium tuberculosis dalam sampel sputum atau kahak dalam tubuh seseorang individu.

TB Reader mengambil masa lebih kurang dua jam untuk mengetahui keputusan ujian, lebih sensitif serta mampu mengesan kehadiran bakteria Tibi walaupun kandungan bakteria berada dalam kadar yang rendah manakala TB Strip pula memakan masa hanya kira-kira 10 hingga 15 minit untuk mendapat keputusan namun tahap sensitivitinya lebih rendah berbanding TB Reader.

CEPAT PROSES SARINGAN, KOS LEBIH RENDAH

Menyifatkan kedua-dua inovasi itu sebagai nilai tambah kepada kaedah pengesanan awal penyakit Tibi yang sedang digunakan hospital dan makmal terlibat ketika ini, ketua kumpulan penyelidik UPM Prof Dr Nor Azah Yusof berkata antara kelemahan kaedah piawai sedia ada ialah masa yang diperlukan agak lama sebelum keputusan dapat diketahui.

“Sebagai contoh ujian Mantoux memerlukan tempoh masa minimum 72 jam dan ujian kultur pula lazimnya minimum empat minggu diperlukan. Biarpun ujian calitan kahak atau dipanggil acid fast bacilli smear test (AFB) adalah yang paling cepat, namun isu yang sering timbul ialah keputusan false negative yang agak tinggi. 

“Justeru, inovasi TB Strip dan TB Reader ini dapat membantu mempercepat proses saringan penyakit Tibi sebelum pemeriksaan lanjut dan lebih terperinci dijalankan di samping kos bagi kedua-duanya adalah jauh lebih rendah berbanding kaedah lain,” katanya kepada Bernama. 

Saringan cara TB Strip dilakukan melalui kaedah ujian antigen sementara TB Reader pula adalah inovasi bagi mengesan bakteria Tibi menggunakan kaedah elektro kimia.

Nor Azah yang juga pensyarah di Fakulti Sains UPM berkata inovasi itu sedang dalam proses kajian klinikal dan perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebelum ianya boleh dipasarkan secara rasmi.

Kajian klinikal fasa pertama TB Reader telah mencapai 70 peratus kecekapan berbanding kaedah piawai sedia ada dan selepas semua masalah berkaitan dikenal pasti, kajian klinikal fasa kedua pula akan diteruskan dengan skala sampel yang lebih besar.

TB Reader mula dibangunkan lima tahun lepas dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Persatuan Pencegah Batuk Kering Sabah (SABATA) Penampang.

Kajian klinikal baru TB Strip pula bermula Ogos tahun lepas secara berperingkat namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua.

Kajian membangunkannya turut dimulakan sejak lima tahun lepas dengan kerjasama USM Kubang Kerian dan Institut Perubatan Respiratori Kementerian Kesihatan. 

“Sebagai golongan penyelidik yang terlibat dengan biosensor, kaedah diagnostik dalam pengesanan penyakit merupakan antara skop yang amat penting bagi membantu lebih ramai pesakit didiagnos dengan lebih cepat seterusnya mendapat rawatan pada peringkat awal. 

“Kerjasama erat perlu terus digembleng antara penyelidik, agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kementerian lain yang terlibat seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pihak industri bagi membolehkan inovasi dalam pengesanan penyakit Tibi di negara ini dapat dilaksanakan dengan baik dan komprehensif,” kata Nor Azah. 

Date of Input: 24/12/2021 | Updated: 24/12/2021 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEZTAw~