Siapa sangka kulit rambutan merah yang biasanya dibuang selepas buah dimakan sebenarnya mempunyai nilai yang sangat tinggi? Penyelidik dari Universiti Putra Malaysia yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nur Hanani Binti Zainal Abedin bersama pelajar PhD, Nurul Azlin Tokiman berjaya menghasilkan teknik “Blanch-Fast Cooling”, iaitu kaedah rawatan panas dan penyejukan pantas untuk mengekalkan warna merah semula jadi serta kandungan antioksidan dalam kulit rambutan. Teknik ini membantu kulit rambutan kekal merah cantik dan tidak cepat bertukar perang walaupun melalui proses pengeringan dan pemanasan.
Lebih menarik, kulit rambutan yang dirawat menggunakan teknik ini mempunyai kandungan antioksidan yang lebih tinggi berbanding biasa. Ini menjadikan ekstraknya sangat sesuai digunakan dalam pembungkusan makanan aktif bagi membantu mengekalkan kualiti makanan dengan lebih baik. Selain itu, ekstrak kulit rambutan ini juga berpotensi dijadikan pewarna makanan semula jadi yang lebih selamat, mesra alam dan mampu menggantikan pewarna tiruan di pasaran. Daripada sisa yang dianggap tidak berguna, kini kulit rambutan berjaya ditukar menjadi bahan bernilai tinggi untuk industri makanan, kosmetik dan kesihatan.
Inovasi ini bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran sisa buah-buahan, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada industri tempatan. Dengan Malaysia sebagai negara pengeluar buah tropika, teknologi ini mampu memberi nilai tambah kepada hasil pertanian negara serta menyokong pembangunan teknologi hijau dan ekonomi kitaran. Ia membuktikan bahawa inovasi hebat tidak semestinya datang daripada sesuatu yang mahal, kadangkala ia bermula daripada kulit rambutan yang selama ini kita buang begitu sahaja.
Link: https://www.facebook.com/share/p/1BtQsd7DKu/

Date of Input: 29/05/2026 | Updated: 29/05/2026 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia