Sistem Pengurusan Cekap Bantu Industri Binaan Tempatan | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTICLE » Sistem pengurusan cekap bantu industri binaan tempatan

Sistem pengurusan cekap bantu industri binaan tempatan

Isu kebergantungan kepada tenaga kerja asing bukanlah sesuatu yang baharu dalam industri pembinaan di Malaysia dengan catatan pertumbuhan memberangsangkan dalam beberapa tahun lepas, di samping menyediakan peluang pekerjaan yang ketara dengan jumlah tenaga kerja yang berdaftar sebanyak 1.2 juta, mewakili 9.5 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia.

 

Maka, satu inisiatif yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) berjaya membangunkan satu sistem bagi menangani masalah kebergantungan industri terhadap tenaga kerja asing yang dikenali sebagai Construction Personnel Modelling System (COPMOS).

 

Ketua penyelidiknya Prof. Madya Dr. Rusmawati Said dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, berkata berdasarkan dapatan daripada Kajian Pengurusan Modal Insan dalam Industri Pembinaan di Malaysia yang dijalankan, sektor ini memerlukan analisis maklumat bagi  menganggarkan data keperluan unjuran guna tenaga lebih tepat, maka ilham untuk membangunkan COPMOS tercetus.

 

“COPMOS menyediakan maklumat berkaitan personel binaan, tren dan cabaran industri pembinaan di Malaysia berasaskan dapatan kajian yang telah dijalankan sebelum ini. Sistem ini menyediakan input mengenai personel binaan melalui analisis penanda aras, model pengurusan sumber manusia dan pelan induk tenaga kerja,” kata Dr. Rusmawati

 

Sistem ini juga merupakan sistem pertama dibina bagi membantu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menganggarkan keperluan guna tenaga dalam industri pembinaan untuk masa depan serta membantu dari segi kos majikan dalam pengambilan pekerja dalam sesatu projek yang akan dijalankan.

 

Antara fungsi lain sistem ini ialah menangani masalah pertindihan tenaga kerja dalam sektor pembinaan, menambah kecekapan guna tenaga kerja tempatan, mengenal pasti praktis tebaik dan mengurus data secara komprehensif.

 

“COPMOS juga membantu memodenkan industri pembinaan menjadi lebih berdaya saing sekaligus memacu industri dalam penggunaan teknologi pembinaan selari ke arah revolusi industri 4.0,” katanya lagi.

 

Antara penyelidik lain terlibat dalam pembangunan sistem ini yang terdiri daripada tenaga pakar UPM ialah Prof. Dr. Zulkornian Yusop, Prof. Madya Dr. Azmawani Abd. Rahman, Prof. Madya Dr. Rozanah Ab. Rahman serta Prof. Madya Dr. Yong Chen Chen dari Universiti Malaya.

 

COPMOS sedia dikomersialkan serta mensasarkan kepada pasaran dalam sektor kerajaan dan swasta serta agensi yang terlibat dengan industri pembinaan atau badan-badan berkaitan lain yang ingin memperoleh data komprehensif bagi tujuan penambahbaikan polisi, merancang sumber manusia atau tujuan penyelidikan.

 

Dalam pada itu, sistem ini telah berjaya menggondol beberapa anugerah di peringkat universiti dan kebangsaan antaranya pingat emas di Karnival Inovasi 4IR: Transformasi Minda Keusahawanan Siswa Pendidik, Kategori Inovasi Dunia Digital, pingat gangsa di JINM Showcase 2019 serta Anugerah Jaringan Industri dan Komuniti Berimpak Tinggi 2018 dan 2019. – UPM

Date of Input: 19/05/2020 | Updated: 19/05/2020 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
C1601126675