UPM Hasil Vaksin Cegah Penyakit Paru-paru Kambing - Harakahdaily | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » UPM hasil vaksin cegah penyakit paru-paru kambing - Harakahdaily

UPM hasil vaksin cegah penyakit paru-paru kambing - Harakahdaily

ARTIKEL DITERBITKAN HARAKAH DAILY 1/10/2021

SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengkomersilkan inovasi vaksin STVac7 semburan intranasal untuk kambing dan biri-biri bagi mencegah penyakit yang menyerang paru-paru atau pneumonia.

Inovasi tersebut menarik minat syarikat BIO-Angle VACS Sdn Bhd (BAV) dengan nilai jualan paten RM4 juta.

Penjualan paten Mannhemia Haemolytica Bacterial Polypeptides and Sequences, Gene Sequences and Uses Thereof (MY-176715-A) dimaterai melalui perjanjian tiga hala melibatkan UPM, UPM Innovation Sdn Bhd dan BAV baru-baru ini.

Majlis bersejarah itu disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi Dr Mohd Zabri Yusoff.

Turut hadir Naib Canselor UPM Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman, Pengerusi BIO-Angle VACS Sdn Bhd Dato’ Dr Mohd Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Innovations Sdn Bhd Azrul Reza Aziz.

Dr Mohd Roslan berkata, pemateraian Perjanjian Penjualan Paten kepada BAV merupakan nilai penjualan pengkomersilan tertinggi yang dicapai oleh UPM setakat ini.

Katanya, kejayaan pengkomersilan tersebut adalah hasil usaha sama di antara Putra Science Park (PSP) UPM dan UPM Innovations yang juga anak syarikat UPM Holdings.

“BAV kini juga dalam proses membina fasiliti bernilai RM8 juta untuk pengeluaran STVac7.

“Fasiliti bakteria vaksin bertaraf GMP tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan mampu mengeluarkan sehingga 300,000 botol setahun,” katanya pada kenyataan.

Pembinaan fasiliti itu kini 80 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku terakhir 2022, setelah mendapat persijilan dan akreditasi GMP daripada badan kawal selia tempatan.

BAV menyasarkan sebanyak 20 juta kambing dan bebiri iaitu bersamaan dengan 1 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi kambing dan bebiri di seluruh dunia.

Melalui unjuran terbabit BAV berpotensi menjana pendapatan sebanyak USD80 juta setahun.

Hasil daripada kerjasama erat tersebut BAV turut menandatangani perjanjian jual beli dengan dua syarikat luar negara untuk memasarkan 100,000 botol STVac7 ke negara China dan Nigeria.

Manakala pasaran lain seperti India, Pakistan, Bangladesh, Mongolia, Senegal, Indonesia dan Amerika Selatan kini dalam proses penilaian.

Pengarah PSP UPM Prof Dato’ Dr Hair Bejo pula berkata, usaha menghasilkan dan mengkomersilkan inovasi dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara.

Katanya melalui penghasilan inovasi itu secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada banyak pihak serta meningkatkan kualiti kehidupan sejagat.

Sementara itu Vaksin STVac7 merupakan vaksin jenis semburan intranasal pertama bagi mencegah penyakit paru-paru atau pneumonia yang menyerang kambing dan biri-biri.

Projek yang diketuai Prof Dr Mohd Zamri Saad dari Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM mampu memberikan lebih 90 peratus perlindungan terhadap penyakit pneumonia yang disebabkan virus Pasteurella Haemolytica.

Dr Mohd Zamri berkat, Virus Pasteurella haemolytica adalah bakteria yang menyebabkan ‘mannheimiosis’ atau jangkitan radang paru-paru terhadap kambing dan biri-biri.

“Ia merupakan penyakit biasa yang boleh menyerang 60 peratus populasi kambing dan bebiri di dunia. Kesannya boleh mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar kepada industri ruminan kecil di seluruh dunia.

“Vaksin yang sedia ada bagi mencegah penyakit itu merupakan vaksin diimport dan dihasilkan daripada jenis asing dan diberi secara suntikan intraotot kepada kambing dan biri-biri,” ujarnya.

Vaksin jenis itu didapati bukan sahaja tidak berkesan malah harganya mahal.

Menurutnya juga vaksin STVac7 dicipta dengan menggunakan bakteria terpencil tempatan yang didapati mampu memberi perlindungan daripada jangkitan bakteria ‘Mannheimia haemolytica’ A2, A7 dan A9.

Kata beliau ia terbukti memberi perlindungan yang lebih berkesan untuk menangani penyakit tersebut.

“Memandangkan sistem pernafasan merupakan kaedah utama jangkitan berlaku, maka konsep vaksin ini adalah untuk memperkukuhkan tahap ketahanan sistem badan pada sistem pernafasan,” ujarnya.

Tarikh Input: 24/12/2021 | Kemaskini: 24/12/2021 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
WVJZHA:07:18