Alat Inovasi Markot UPM | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Alat Inovasi Markot UPM

Alat Inovasi Markot UPM

Putra Pro-Cut

Proses pembiakan tanaman secara markot kini lebih mudah dengan menggunakan peralatan tanaman Putra Pro-Cut dan Putra Fast-Snap yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik UPM.

Inovasi ini menawarkan penyelesaian kepada kelemahan pembiakan markot secara tradisional yang menggunakan pisau. Dengan menggunakan peralatan ini, aktiviti pembiakan tanaman yang dilakukan menjadi lebih efektif, menjimatkan masa, meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerja, serta masalah kecederaan dapat dielakkan, terutamanya kepada orang yang kurang mahir dalam pembiakan tanaman secara markot.

Inovasi ini dihasilkan bagi memudahkan proses pembiakan markot memandangkan ia adalah kaedah pembiakan tanaman yang popular dan mampu menghasilkan tanaman yang berbuah dengan cepat.

Putra Pro-Cut berfungsi sebagai pemotong bagi menghasilkan dua kelaran secara serentak, manakala, Putra Fast-Snap berfungsi sebagai pemegang media pertumbuhan akar bagi menggantikan penggunaan plastik pembungkus dan tali.

Putra Fast-Snap ini boleh digunakan berulang kali berbanding penggunaan plastik pembungkus dan tali yang perlu dibuang selepas digunakan. Ini dapat menjimatkan kos pengeluaran sekaligus dapat memelihara alam sekitar.

Inovasi Putra Pro-Cut ini didatangkan dengan aplikasi penanaman yang lengkap terdiri daripada mata pisau untuk membuat kelaran, pengupas, dan pemotong sekaligus mampu menghasilkan kelaran yang seragam dan kemas.

 

Putra Fast-Snap

Putra Fast-Snap pula merupakan peralatan inovasi penanaman yang didatangkan sekali bagi melengkapkan proses pembiakan tanaman secara markot ini.

Putra Fast-Snap terdiri daripada kapsul silinder yang disambung dengan dua engsel dan mekanisme kekunci untuk dilekapkan pada dahan atau ranting.

Kapsul silinder ini berfungsi untuk melindungi permukaan kulit pokok yang terdedah, menampung medium pengakaran seperti tanah, sabut kelapa atau kompos serta mengekalkan kelembapannya.

Kapsul silinder ini khusus dibangunkan menggunakan bahan plastik yang tahan lasak dan lutsinar bagi memudahkan pekerja untuk melakukan pemantauan terhadap perkembangan dan pertumbuhan akar dengan mudah dan teliti.

Menurut Md Rozaidi Md Yusof lagi, proses pembiakan markot  dengan menggunakan Putra Pro-Cut dan Putra Fast-Snap merekodkan peningkatan produktiviti sehingga 400% dan 50% pengurangan proses kerja sekaligus kejayaan pembiakan tanaman secara markot juga meningkat kepada 91%.

Kaedah penggunaan Putra Pro-Cut adalah dengan mengapit dahan atau ranting pokok yang dipilih, kelaran pertama dan kedua berbentuk bulatan dilakukan secara serentak bagi menghasilkan corak kelaran yang seragam sekaligus lapisan epidermis dapat dikeluarkan dengan mudah.

Putra Fast-Snap digunakan untuk mengisi tanah, sabut kelapa atau kompos dan dilekapkan di kawasan dahan atau ranting yang terdedah dan ditutup rapat menggunakan mekanisme kekunci (interlock).

Inovasi ini dijangka mampu memperluaskan minat dalam bidang pertanian di kalangan masyarakat serta membuka laluan dan peluang kepada mereka untuk memperbanyakkan tanaman dan seterusnya menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi di Malaysia.

 

Penyelidik

Md Rozaidi Md Yusof,

Ketua Penyelidikan dan Inovasi

Pusat Pertanian Putra UPM

 

 

 

Untuk maklumat lanjut, hubungi:

Nor Azizah Ismail

Pegawai Eksekutif

Putra Science Park

Universiti Putra Malaysia

03-9769 2187   | promosi@upm.edu.my

 

Senarai teknologi UPM yang sedia dikomersilkan:

https://sciencepark.upm.edu.my/industri/teknologi_untuk_dilesenkan/teknologi_sedia_dikomersialkan-4154

Tarikh Input: 20/04/2022 | Kemaskini: 20/04/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
WVJZGA:06:33