Innovation Achievement In Vice-Chancellor’s Narrative 2022 | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » Innovation Achievement in Vice-Chancellor’s Narrative 2022

Innovation Achievement in Vice-Chancellor’s Narrative 2022

SERDANG, 11 Feb: Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman menggariskan 11 aspirasi dalam Naratif Naib Canselor 2022 dan meminta semua warga UPM menghayati serta melaksanakannya, dan berharap tahun 2022 akan dilalui dengan semangat lebih membara dan bingkas mendepani cabaran dengan keberanian.

 

Aspirasi itu ialah Menakhoda Pertanian dan Pusat Rujukan Pengembangan, Melahirkan Pelajar Sebagai Sosok Warganegara Yang Baik, Merealisasikan Kampus PIntar, Memartabatkan Penyelidikan Untuk Negara, Menjuarai Misi Universiti Untuk Masyarakat, Merancak UPM Global, Mengekalkan Reputasi UPM Sebagai Universiti Paling Lestari, Memugar Cakna Menjulang Bakti, Memperhebat Prakarsa Kesejahteraan Kampus, Membingkas Pendanaan Universiti, dan Melibatsama Alumni Untuk Kelangsungan Universiti.

 

Katanya, Naratif Naib Canselor tahun ini yang merupakan kesinambungan daripada naratif tahun lalu yang menyeru warga UPM menggema seruan al-Falah dari menara ilmu, perlu direalisasikan ke dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan pada tahun ini.

 

“Saya menyeru warga UPM untuk bersama ‘Sederap Melangkah Menuju al-Falah.’ Ayuhlah kita bersama menyinsing lengan menunaikan harapan masyarakat yang disandang di bahu kita,” katanya ketika berucap pada majlis Naratif Naib Canselor 2022 di sini.

 

Beliau berkata, pada tahun ini UPM akan memberi fokus kepada program-program yang dirancang oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang menyokong pencapaian sasaran Pelan Strategik UPM 2021-2025, khususnya aspek pertanian berteknologi tinggi, pendigitalan kampus pintar serta program yang menyumbang kepada kelestarian institusi mapan.

 

Prof. Dr. Mohd Roslan berkata, aspirasi Menakhoda Pertanian dan Pusat Rujukan Pengembangan, adalah termasuk Pelaksanaan Mekanisasi Pertanian dan Aplikasi Pendekatan Pintar terhadap Teknologi Pertanian Persis Menggunakan Dron untuk Input Pertanian (racun perosak, baja atau benih), serta Pembangunan Aplikasi Mudah Alih untuk Pengurusan Padi dengan Menggunakan Peta Normalized Difference Vegetation Index (NDVI).

 

Aspirasi Merealisasikan Kampus Pintar, pula adalah untuk memperkasa pendigitalan kampus kerana ia adalah sistem sokongan terbaik untuk UPM lebih berkembang sebagai organisasi. Prof Dr. Mohd Roslan turut melancarkan aplikasi Mobile Apps Smart Putra®Staf yang dibangunkan Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC).

 

 

 

Aspirasi Memartabatkan Penyelidikan Untuk Negara, antara lain akan memperkenalkan ciri keusahawanan kepada penyelidik di UPM agar dapat memberi tumpuan penuh kepada pengurusan start-up yang didaftar sebagi sumber pendapatan universiti, dalam usaha memperkasakan pengkomersialan dan inovasi UPM.

 

Menerusi program InnoHub yang di kendalikan Putra Science Park,  sentiasa aktif memupuk syarikat penyelidik UPM, usahawan dan start-up baharu bagi mengkomersilkan teknologi UPM sendiri. Kolaborasi dan penajaan daripada pelabur dana sentiasa diperolehi bagi memastikan kelestarian perniagaan syarikat ini.

 

Aspirasi Merancak UPM Global, pula antara lain akan memantapkan pengurusan MoU/MoA serta menyahut agenda Melagang Kampus Pintar dan Pendigitalan melalui e-Sistem Pengurusan MoU/MoA Universiti untuk membantu melancarkan proses permohonan kelulusan MoU/MoA/Perjanjian daripada PTJ serta pemantauan proses kelulusan oleh Urusertia, dan pengumpulan data aktiviti yang dijalankan bersama rakan MoU/MoA.

 

Aspirasi Memperhebat Prakarsa Kesejahteraan Kampus, pula menekankan aspek kesejahteraan warga UPM termasuk persekitaran kerja yang kondusif, manakala PTJ perlu menyediakan ruang untuk aktiviti riadah dan bersukan bagi pembudayaan gaya hidup sihat dan cergas. Sehubungan itu program riadah berbasikal Warga UPM sekitar kampus bersama Naib Canselor akan diadakan setiap petang Rabu bermua Mac 2022.

Date of Input: 28/02/2022 | Updated: 28/02/2022 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEaLAV~