Pada 28 Februari 2025, satu mesyuarat atas talian telah diadakan bagi membincangkan hala tuju kerjasama teknologi Agrivoltaic antara Putra Science Park (PSP), UPM dan Syarikat Mabiyoder dari Turki. Teknologi ini merupakan hasil penyelidikan Prof. Madya Ir. Dr. Mohammad Effendy Bin Ya`acob dari Fakulti Kejuruteraan, UPM, yang menggabungkan tenaga boleh diperbaharui dengan amalan pertanian dan penternakan. Ia berupaya mengintegrasikan pengeluaran tenaga solar dengan aktiviti penternakan serta penanaman tanaman secara berkesan.
Syarikat Mabiyoder, yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif En. Remzi Yavuz, berhasrat untuk merevolusikan sektor pertanian melalui penerapan teknologi Agrivoltaic. Fokus utama syarikat ini adalah memperkasakan pembangunan luar bandar serta memperluaskan strategi pelaburan di rantau Turki, Timur Tengah, Asia, dan Afrika, yang berpotensi tinggi untuk aplikasi teknologi ini.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman, Timbalan Pengarah Seksyen Pemindahan Teknologi dan Pengkomersilan, PSP, bersama Puan Norhadida Irdayu Binti Mohd Hanafi, Pegawai Seksyen Pemindahan Teknologi dan Pengkomersilan (Kluster Pertanian, Makanan, Perubatan & Kesihatan). Perbincangan ini membuka peluang kerjasama strategik dalam pemindahan teknologi dan pengkomersilan Agrivoltaic di peringkat antarabangsa.
Date of Input: 04/03/2025 | Updated: 04/03/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia