National Harbor, MD, 5 Mac 2025 – Prof. Dr. Samsilah Roslan, Pengarah Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali lagi mengharumkan nama negara apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Sukarelawan AUTM 2024 dalam satu majlis berprestij di National Harbor, Maryland, Amerika Syarikat.
Anugerah ini mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam memperkasakan bidang pemindahan teknologi, inovasi, dan pengkomersilan hasil penyelidikan di peringkat antarabangsa. Sebagai peneraju utama di Putra Science Park, Prof. Dr. Samsilah memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem inovasi di UPM serta mempercepatkan usaha pelesenan teknologi kepada industri, menjadikan UPM sebagai hab penyelidikan berimpak tinggi.
Di bawah kepimpinan beliau, Putra Science Park telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang berjaya menghubungkan penyelidik dengan pelabur, syarikat industri, serta komuniti global, sekaligus meningkatkan nilai ekonomi dan keberkesanan hasil penyelidikan universiti. Pencapaian ini membuktikan dedikasi Prof. Dr. Samsilah dalam mengangkat standard pemindahan teknologi negara ke tahap lebih tinggi.
Pengiktirafan ini turut membuktikan bahawa kepakaran UPM diiktiraf di peringkat global, seiring dengan matlamat untuk menjadi peneraju dalam inovasi dan teknologi. Tahniah kepada Prof. Dr. Samsilah Roslan atas pencapaian luar biasa ini.
Date of Input: 07/03/2025 |
Updated: 07/03/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING