Putracipta Promosi Tropicarp Makanan Khas Ikan Kelah | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » Putracipta Promosi Tropicarp Makanan Khas Ikan Kelah

Putracipta Promosi Tropicarp Makanan Khas Ikan Kelah

SERDANG, 17 April  - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), telah berjaya menghasilkan formulasi makanan khusus ikan kelah yang dapat membantu penternak serta pengusaha memendekkan jangka masa penternakan kelah di siding media Putracipta Putra Science Park.

 

Kelah merah yang juga dikenali sebagai ‘Raja Sungai’ atau empurau di kalangan penduduk Sarawak boleh mencapai harga pasaran di antara RM800 hingga RM1,200 sekilo dan menjadikannya ikan paling digemari oleh penternak dan pembiak hari ini.

 

Ketua penyelidik, Prof. Dr. Mohd Salleh Kamarudin dari Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM berkata, teknologi TropiCarp™ Premium Mahseer Feed merupakan makanan khusus ikan kelah yang pertama di Malaysia yang dihasilkan melalui penyelidikan keperluan nutriennya serta bahan yang lebih sesuai. 

 

“TropiCarp™ Premium Mahseer Feed dibangunkan mengikut keperluan nutrien bagi tiga peringkat pembesaran ikan kelah merah iaitu pemula, pembesar dan pengakhir yang memberikan tumbesaran tinggi dan optimum pada kelah selain masa tuaian yang lebih singkat.

 

“Kebiasaannya ikan kelah ini mengambil masa selama tiga hingga keempat tahun untuk membesar mencapai satu kilogram (kg). Namun penggunaan makanan kelah TropiCarp™ Premium Mahseer Feed memendekkan jangka masa penternakan kepada setahun lima bulan untuk pembesaran satu kg pembiakan dalam tangki.

 

“Bagi penghasilan teknologi TropiCarp, ia tidak mengandungi bahan terlarang dan pengilang juga mematuhi Good Manufacturing Practices (GMP) dan sistem pengurusan keselamatan makanan (HACCP),” katanya.

 

Tambahnya, selain ikan kelah merah atau empurau, TropiCarp™ Premium Mahseer Feed juga sesuai untuk kelah biru, tengadak, jelawat, temoleh, kerai kunyit, tenggalan dan sebarau.

 

Selain itu, teknologi TropiCarp juga tidak mudah mengotorkan air di dalam tangki atau akuarium kerana makanan ini akan terapung di permukaan air bagi membolehkan penternak memantau kualiti dan kuantiti ikan. -UPM

Date of Input: 18/05/2023 | Updated: 18/05/2023 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEXTAX~