7 Mac 2025, Putra Science Park – Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Sesi Penilaian Program Validasi Pasaran (InnoHub) bagi menilai kelayakan peserta untuk menyertai Program Pemerkasaan Syarikat Pemula InnoHub (PPSPI). Sesi ini telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Nur 'Aliaa Abdul Rahman, Timbalan Pengarah (Pembangunan Perniagaan), bersama Prof. Madya Siti Rahayu Binti Hussin, Penyelarasan InnoHub, dan Dr. Nur Fadhilah Khairil Mokhtar, Ketua Seksyen InnoHub.
Penilaian ini bertujuan menilai kesediaan dan potensi pasaran bagi teknologi yang dibangunkan oleh penyelidik UPM sebelum mereka melangkah ke fasa pengkomersilan melalui PPSPI. Program ini akan bermula pada 12 Mac 2025 dan berlangsung selama 16 minggu, dengan matlamat membimbing dan memperkasakan syarikat pemula (startups) yang berasaskan teknologi UPM.
Melalui PPSPI, peserta akan mendapat bimbingan intensif dalam aspek pembangunan perniagaan, strategi pemasaran, serta pengurusan syarikat bagi memastikan kejayaan produk dan teknologi mereka di pasaran. Program ini diterajui sepenuhnya oleh InnoHub, Putra Science Park, dengan sokongan daripada pelbagai pihak industri dan pakar dalam bidang keusahawanan serta pengkomersilan.
Dengan berlangsungnya sesi penilaian ini, diharapkan lebih banyak syarikat pemula yang berasaskan teknologi akan mendapat manfaat daripada program PPSPI, sekaligus mengukuhkan ekosistem inovasi dan pemindahan teknologi di UPM serta memperkasakan daya saing industri tempatan di peringkat global.
Date of Input: 07/03/2025 | Updated: 07/03/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia