SERDANG, 23 Julai – Syarikat pemula Universiti Putra Malaysia (UPM), MyRimba Sdn. Bhd., sekali lagi mengharumkan nama negara apabila menerima pengiktirafan tertinggi Star of Outstanding pada program World Heritage Education Towards the Future – Innovation of and for Young People sempena Persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO Ke-48 (WHC48) di Busan, Republik Korea. Pengiktirafan yang disampaikan oleh World Heritage Institute of Training and Research for the Asia and the Pacific Region (WHITR-AP) di bawah naungan UNESCO itu diberikan kepada F.I.R.E. (Field • Indigenous • Research • Expression) Collaborative Model, hasil kerjasama MyRimba Sdn. Bhd. di bawah Putra Science Park, UPM dengan UMK Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (UMK-TRaCe).

Anugerah tersebut mengiktiraf kecemerlangan model pendidikan warisan yang menggabungkan penyelidikan saintifik, pemuliharaan biodiversiti, warisan budaya, pendidikan alam sekitar serta pembelajaran berasaskan pengalaman bagi memperkasakan generasi muda selaras dengan aspirasi pembangunan mampan UNESCO.
Pengarah Urusan Bersama MyRimba Sdn. Bhd. yang juga Pegawai Penyelidik Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Dr. Norfaryanti Kamaruddin, berkata kejayaan itu membuktikan kolaborasi antara universiti, agensi kerajaan, organisasi pemuliharaan dan industri mampu menghasilkan pendekatan pendidikan bertaraf dunia yang memberi impak di peringkat antarabangsa.
Susulan pengiktirafan tersebut, MyRimba akan terus memperkukuh pelaksanaan Kem Rimba Rimbun menerusi kerangka Nature, Heritage and Culture, di samping memperluaskan pembangunan produk edutainment seperti Skuad Rimba bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan biodiversiti dan warisan budaya. Pencapaian ini sekali gus mengangkat keupayaan syarikat pemula UPM dan penyelidik Malaysia dalam membangunkan inovasi pendidikan yang berimpak tinggi serta memperkukuh kedudukan negara dalam agenda pendidikan warisan UNESCO di peringkat serantau dan antarabangsa.
Date of Input: 27/07/2026 |
Updated: 27/07/2026 | faizfarhan
MEDIA SHARING