Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia (UPM) berbangga mengumumkan kejayaan salah satu syarikat pemula (startup) di bawah program InnoHub, TerraDeca Sdn. Bhd., yang telah meraih tempat ketiga dalam Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) 2025.
Program PISA, yang dikendalikan oleh BEYOND4 dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, merupakan sebuah program pemecut inovasi yang bertujuan membangunkan potensi syarikat pemula tempatan melalui siri bimbingan intensif, sesi pemilihan kompetitif dan pendedahan kepada pelabur. Bermula sejak akhir Mac 2025, sebanyak 20 syarikat telah menyertai kohort ke-5, namun hanya 10 syarikat terbaik dipilih mara ke pentas Demo Day pada 24 Julai 2025.
TerraDeca, yang diterajui oleh COO, Encik Luqman Hadi, bersama pengasasnya, Prof. Madya Dr. Nur Kartinee Kassim dan CEO, Cik Hilda Carol, tampil cemerlang sepanjang program. Komitmen tinggi dan pembentangan berimpak tinggi yang dibawakan semasa Demo Day telah membuahkan hasil, apabila TerraDeca dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.00.
Putra Science Park dan komuniti InnoHub mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada TerraDeca atas pencapaian membanggakan ini. Putra Science Park akan terus komited dalam menyokong dan membimbing syarikat pemula universiti ke arah pengkomersialan teknologi dan kejayaan pasaran.
Date of Input: 28/07/2025 |
Updated: 28/07/2025 | faizfarhan
MEDIA SHARING