UPM Raih Kejayaan Di CIC Asia 2025 | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » UPM Raih Kejayaan di CIC Asia 2025

UPM Raih Kejayaan di CIC Asia 2025

SERDANG, 1 Disember 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi mencipta sejarah apabila Pasukan SigmaCoders dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) berjaya mengharumkan nama universiti di pentas antarabangsa. Melalui inovasi ChiliCare – Smart Farming App, pasukan ini mendapat tempat dalam 5 Terbaik Asia di Convergence Innovation Competition (CIC) Asia 2025, anjuran Georgia Tech, universiti kejuruteraan terkemuka dunia. Majlis berprestij yang berlangsung di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur ini turut menyaksikan SigmaCoders membawa pulang hadiah bernilai USD 1,000.

ChiliCare, aplikasi pertanian pintar berasaskan data, dibangunkan bagi membantu pekebun kecil cili meningkatkan produktiviti dan kecekapan melalui analisis tanaman secara masa nyata. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih ahli pasukan — Muhammad Haizad Murad, Hafiy Azfar Mohd Masri, Hazriq Haykal Norrol Farhan, dan Muhammad Naim Mazni — di bawah bimbingan Mentor Dr. Azrina Kamaruddin serta sokongan CIC Fellow, Dr. Masrah Azrifah Azmi Murad. Program ini turut menampilkan sesi panel dan fireside chat bersama YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia, yang menggariskan kepentingan pembangunan bakat digital dan inovasi di Malaysia.

Putra Science Park (PSP) turut menunjukkan komitmen tinggi dalam ekosistem inovasi UPM melalui penyertaan Prof. Madya Ir. Dr. Nur ‘Aliaa Abd Rahman, Timbalan Pengarah (Pembangunan Perniagaan). Kejayaan SigmaCoders ini bukan sahaja membanggakan UPM, malah mengukuhkan kedudukan universiti sebagai hab inovasi yang melahirkan bakat muda berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Date of Input: 03/12/2025 | Updated: 03/12/2025 | faizfarhan

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
W, (11:56:45am-12:01:45pm, 07 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]