Inovasi Vaksin Ayam Generasi Baharu | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Inovasi Vaksin Ayam Generasi Baharu

Inovasi Vaksin Ayam Generasi Baharu

Penyakit sampar ayam (ND) yang disebabkan oleh virus sampar ayam (NDV) adalah wabak virus burung yang mudah berjangkit dan merupakan penyakit virus yang telah menyebabkan kerugian besar terhadap industri poltri di seluruh dunia. Strategi kawalan semasa  penyakit ini bergantung kepada penggunaan vaksin yang berbeza  yang dibangunkan sejak lebih enam dekad yang lalu. Namun vaksin yang sedia ada kerap gagal memberikan perlindungan yang menyeluruh. Virus ND genotip VII virulen merupakan strain NDV yang paling banyak tersebar di Malaysia dan negara-negara lain di benua Asia dan Timur Tengah sejak 10 tahun yang lalu.

 

Projek yang diketuai oleh Prof. Dr. Abdul Rahman Omar dari Institut Biosains (IBS) dan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM menerangkan vaksin yang dibangunkan ini mampu memberikan perlindungan yang menyeluruh terhadap virus ND genotip VII virulen. Menurut Prof. Dr. Abdul Rahman Omar, menerusi teknologi genetik berbalik,  Vaksin Padanan-Genotip telah berjaya dihasilkan menerusi penyelidikan selama lebih 5 tahun di bawah Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ujian yang dijalankan oleh pihak IBS UPM DAN MVP, telah mendapati hasil dapatan dalam ayam telah membuktikan vaksin ini stabil, tidak mempunyai kesan sampingan dan selamat digunakan pada anak ayam yang berumur satu hari. Anak ayam yang disuntik sekali dengan vaksin ini menghasilkan paras antibodi yang tinggi selepas 3 minggu yang memberikan perlindungan yang menyeluruh daripada cabaran penyakit serta pembebasan virus ND genotip VII.

MVP telah pun berjaya mengkomersialkan beberapa vaksin ayam yang dihasilkan oleh penyelidik dari UPM, seperti vaksin untuk penyakit puru (MyVAC Fowl Pox), vaksin untuk penyakit Gumboro (MyHatch UPM IBD 93) dan vaksin untuk penyakit sampar ayam (MyVAC ND V4 HR).

Pada masa ini industri vaksin Negara amat bergantung kepada teknologi luar negara dengan lebih 70% vaksin haiwan yang digunakan di Malaysia merupakan vaksin yang diimpot.  Penyelidikan dan inovasi vaksin bagi tujuan pengkomersialan merupakan satu proses yang amat rumit yang hanya boleh diatasi sekiranya ada kerjasama erat daripada semua pihak termasuk pihak industri pada peringkat awal. Pembangunan vaksin tempatan dijangkakan dapat mengurangkan kebergantungan kerajaan terhadap vaksin haiwan yang diimport dan ini seterusnya akan membuka peluang kepada pembangunan fasiliti vaksin yang baharu. Sehingga hari ini hanya syarikat MVP sahaja satu-satunya syarikat tempatan yang berjaya menghasil dan mengilang vaksin untuk haiwan di negara ini.

Pihak MVP akan menjadikan vaksin padanan-genotip ini  sebagai salah produk utama dalam mengawal ND di Malaysia dan di negara lain. MVP telahpun menerima permintaan bagi vaksin ini  daripada ladang ayam tempatan dan juga negara seperti Indonesia, Vietnam dan Egypt dan sehingga hari ini, MVP telah berjaya mengeluarkan 19 jenis vaksin untuk pelbagai haiwan ternakan terutamanya ternakan ayam dan itik.

 

Pertanyaan lanjut, sila hubungi:

Prof. Dr. Abdul Rahman Omar
Institut Biosains
Fakulti Perubatan Veterinar
Emel: aro@upm.edu.my

 

Dr Nurfarahin Asyikin bt Tajul Ariff
Malaysian Vaccines And Pharmaceuticals SDN. BHD.
Puchong, Selangor.
Tel:03-80615701

 

  

Artikel oleh ;

Asrizam Esam
Pegawai Penyelidik
Putra Science Park UPM

Tarikh Input: 30/12/2019 | Kemaskini: 15/01/2020 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDcVAe~