UPM Jual Paten Vaksin Intranasal - BERITA HARIAN | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTICLE » UPM jual paten vaksin intranasal - BERITA HARIAN

UPM jual paten vaksin intranasal - BERITA HARIAN

ARTIKEL DITERBITKAN BERITA HARIAN 24/9/2021

KUALA LUMPUR: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengkomersialkan inovasi vaksin STVac7 semburan intranasal untuk kambing dan biri-biri bagi mencegah penyakit pneumonia dengan nilai jualan paten RM4 juta kepada syarikat BIO-Angle VACS Sdn Bhd (BAV).

Pemeteraian perjanjian dan penjualan paten tiga pihak itu membabitkan UPM, UPM Innovation Sdn Bhd dan BAV berlangsung dalam satu majlis disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yusoff.

Turut hadir bagi menyempurnakan sesi penjualan paten itu antaranya Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman; Pengerusi BIO-Angle VACS Sdn Bhd, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Innovations Sdn Bhd, Azrul Reza Aziz.

Mohd Roslan berkata, permeteraian Perjanjian Penjualan Paten kepada pihak BAV itu adalah nilai jualan pengkomersilan tertinggi yang dicapai oleh UPM setakat ini.

Ia telah pun 80 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku terakhir 2022 selepas mendapat persijilan dan akreditasi GMP daripada badan kawal selia tempatan," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Daud berkata, BAV menyasarkan 20 juta kambing dan bebiri atau satu peratus daripada jumlah keseluruhan populasi kambing dan bebiri di seluruh dunia akan diberikan vaksin berkenaan.

"Melalui unjuran ini, BAV berpotensi untuk menjana pendapatan sebanyak AS$80 juta setahun.

"Hasil kerjasama ini, BAV telah menandatangani perjanjian jual beli dengan dua syarikat luar negara untuk memasarkan 100,000 botol STVac7 ke China dan Nigeria selain dipasarkan di India, Pakistan, Bangladesh, Mongolia, Senegal dan Indonesia.

"Amerika Selatan kini dalam proses penilaian serta perbincangan dan bakal dimeterai kelak," katanya.

Vaksin STVac7 adalah vaksin jenis semburan intranasal pertama bagi mencegah penyakit paru-paru atau pneumonia yang menyerang kambing dan biri-biri dihasilkan UPM melalui projek khas yang diketuai oleh Prof Dr Mohd Zamri Saad dari Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM.

Zamri berkata, vaksin yang dibangunkan itu mampu memberikan lebih 90 peratus perlindungan terhadap penyakit pneumonia yang disebabkan oleh virus Pasteurella haemolytica.

"Virus Pasteurella haemolytica adalah bakteria yang menyebabkan 'mannheimiosis' atau jangkitan radang paru-paru kambing dan biri-biri dan ia menjadi penyakit biasa yang boleh menyerang 60 peratus populasi kambing dan bebiri di dunia akan mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar kepada industri ruminan kecil di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata, vaksin yang sedia ada bagi mencegah penyakit itu adalah diimport dan dihasilkan daripada jenis berasingan dan diberi secara suntikan intraotot kepada kambing dan biri-biri.

"Vaksin jenis itu didapati bukan sahaja tidak berkesan, tetapi mahal manakala vaksin STVac7 dicipta dengan menggunakan bakteria terpencil tempatan yang didapati mampu memberi perlindungan daripada jangkitan bakteria 'Mannheimia haemolytica' A2, A7 dan A9 serta terbukti memberi perlindungan yang lebih berkesan untuk menangani penyakit itu," katanya.

Memandangkan sistem pernafasan adalah kaedah utama jangkitan berlaku, konsep vaksin itu adalah memperkukuhkan tahap ketahanan sistem badan pada sistem pernafasan.

"Pemberian vaksin secara semburan pada hidung memberi perlindungan kepada sistem pernafasan kambing dan biri-biri secara setempat dan sistemik," katanya.

 

Date of Input: 24/12/2021 | Updated: 24/12/2021 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEaBAV~